Sunday, June 25, 2023

PERASAAN RAHSIA HATI SESEORANG

 Assalamualaikum semua...

Terima kasih diucapkan kepada sesiapa sahaja yang sudi singgah ke blog ini dan membaca coretan yang tidak seberapa ini. Didoakan semoga setiap orang yang membacanya dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat.

    Tanpa sedar agak lama juga diri ini menyepi tanpa khabar dan tanpa coretan baru. Kerana sibuk dengan kehidupan baharu yang Allah kurniakan ini membuatkan kadang-kadang terpaksa mendahulukan apa yang perlu diutamakan. Semoga kesibukan itu juga tidak membuatkan diri ini lalai dan jauh daripada mengingati Allah. Kehidupan baharu apakah itu? Nanti saya akan cerita di post yang akan datang....tunggu :)

    Baiklah, perkongsian pada hari ini sedikit berbeza kerana ianya adalah satu tajuk yang belum pernah saya ceritakan dalam post-post sebelum ini. Kali ini saya akan bercerita berkaitan 'Perasaan Rahsia Hati Seseorang'. Saya pasti bila baca berkaitan perasaan ianya akan dikaitkan dengan perasaan suka, sayang dan cinta pada seseorang. 

    Sebagai manusia biasa, kita semua tidak dapat lari daripada mempunyai perasaan tersebut. Perasaan menyayangi seseorang dan disayangi kembali. Walaupun sekuat mana kita menidakkan perasaan itu, namun Allah tu Maha Berkuasa, perasaan tersebut akan makin kuat dan makin ada dalam hati kita. Dan sekiranya itu terjadi, perkara penting yang kita perlu lakukan adalah belajar untuk menguruskan perasaan yang hadir dengan tidak membiarkan perasaan tersebut menguasai diri kita.

    Saya yakin ianya bukanlah satu perkara yang mudah semudah apa yang kita ungkapkan di mulut...tapi cuba untuk usahakan tidak menenggelamkan diri anda semua dengan perasaan tersebut sehingga hanyut dan karam dilambung ombak rindu kepada seseorang...ewahhh hahaha...over pulak ayat tu ;D

    Namun itulah realitinya...bukan senang untuk melupakan seseorang yang pernah hadir dalam hidup kita...yang mana kehadirannya memutik suatu perasaan dalam hati kita. Meskipun sekuat mana hati kita bertahan, pasti adakalanya ianya akan terasa kesunyian dan fikiran pun mulai mengingat kembali segala yang pernah hadir... Tidak salah kalau tiba-tiba mengingatnya kembali tapi..ada tapinya...kita perlulah pandai untuk menarik semula diri kita kembali kepada realiti hidup...jangan biarkan perasaan tersebut menganggu perjalanan hidup kita. Cuba untuk pendam apa yang kita rasakan sekarang ini daripada pengetahuan orang lain...


    Saya akui perit rasanya apabila kita terpaksa memendam perasaan tersebut, lebih-lebih lagi apabila semakin hari semakin kuat perasaan tersebut. Tapi saya lebih memilih untuk mencintai seseorang itu dalam diam...kenapa? Kerana itu adalah jalan paling selamat bagi diri dan iman saya. Andai perasaan tersebut diungkapkan, pasti akan ada terselit satu harapan...dan saya tidak suka membiarkan orang lain terbeban dengan perasaan saya..apatah lagi dalam soal perasaan, saya bukanlah seseorang yang suka memaksa...andai ada, ada lah...kalau tiada, maka tiada lah...tidak mengapa. 



    Kerana bagi saya, yang paling penting adalah Allah tahu bagaimana kuatnya saya melawan perasaan itu daripada menyalurkannya kepada suatu yang membuatkan saya jauh daripada-Nya. Dan saya pasti, kita semua mampu untuk melawan dan memerangi perasaan kita sendiri...

    Aduhhh...tiba-tiba rasa lain pula bila berkongsi tentang tajuk ni...membuka lembaran posting terbaru 2023 dengan tajuk yang agak berbeza vibe nya...huhuhu...mungkin kerana faktor usia juga ni...Apabila diriku mulai menginjak ke usia '3' siri ni, makin banyak rasa yang muncul..yang kadang-kadang membuatkan saya perlu kuat dan bertahan meskipun terpaksa memikulnya seorang diri...kerana memendam dan merahsiakan itu lebih baik daripada mengungkapkan...kerana bimbang ianya akan menyebabkan ada yang mulai menjauhkan diri...tidak kurang juga takut ada yang mulai tidak selesa sedangkan perasaan saya biarlah saya sendiri yang menghadapinya tanpa perlu ada yang khuatiri...

    Dan...mungkin juga kerana usia 30 tahun itu adalah usia yang saya impikan akan terwujudnya impian untuk memiliki sebuah keluarga...tapi apakan daya, Allah lebih mengetahui segala-galanya...Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk diri saya...Impian itu terpaksa dipendam dulu sehingga tiba saat yang tepat yang telah ditetapkan oleh Allah..Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang...tapi, kita perlu ingat, Allah lah sebaik-baik perancang...Dan saya amat yakin dan percaya kalau impian itu memang milik saya, maka, Allah akan mewujudkannya buat diri saya meskipun kemungkinan harus perlu melalui penantian yang panjang...

    Satu prinsip yang saya pegang selama ini apabila hati ini mulai mengagumi seseorang adalah 'Di saat si dia mulai melafazkan ijab qabul terhadap wanita lain, maka tertutuplah pintu hati dan hilanglah segala rasa yang pernah ada dalam hati ini'. Akan segera saya buang segala rasa dan kembali meneruskan hidup saya seperti sebelum mengenalinya. Walaupun sulit, tetap sahaja perlu menerimanya kerana akhirnya jawapan daripada sebuah penantian itu terjawab. 

Sendiri itu sepi...

Tapi aku punya Allah...🧡

    Baiklah sampai di sini sahaja perkongsian saya. Doakan agar saya diberikan kelapangan dalam kesibukan dunia baharu ini agar dapat lagi mencoret secebis nasihat, menyuntik semangat dan berkongsi pengalaman yang saya ada. In shaa Allah nantikan perkongsian terbaru saya yang seterusnya...semoga kita sama-sama dapat hadapi tahun 2023 ini dengan penuh semangat, senyuman dan tenang-tenang saja. 

Sebelum berundur, saya tinggalkan anda semua dengan satu video yang saya rasa sangat dekat dengan diri saya sekarang ini. 


Assalamualaikum....
#HatikuMilikAllah
#Meskipunpernahtercoretnamamu
#SerahkansegalanyakepadaAllah



Wednesday, December 8, 2021

HIKMAH DI SEBALIK 2020 ...

 Assalamualaikum....

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog saya bagi membaca coretan yang tidak seberapa ini. Semoga kita semua dikurniakan kesihatan yang baik dan diberikan kemudahan dalam setiap urusan baik di dunia mahupun di akhirat...Saya doakan juga semoga kita semua sentiasa dibawah perlindungan Allah dan dijauhi daripada segala wabak penyakit berbahaya...
Amin Ya Rabbal Alamin...

Baiklah, perkongsian saya pada hari ini adalah berkaitan dengan hikmah di sebalik 2020. Sedar tak sedar dah hampir dua tahun berlalu sejak posting perkongsian saya yang terakhir...tak sangka kata-kata bahawa itu adalah posting terakhir benar dan menjadi kenyataan memandangkan setahun diri ini menyepi daripada penulisan blog. 

Alhamdulillah...syukur kepada Allah yang masih memberi diri saya kesihatan yang baik dan diberikan ketenangan hati bagi sama-sama berkongsi dan terus memotivasikan diri sendiri dan orang lain khususnya kepada mereka yang setia dan sudi membaca blog ini...

Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang tahu betapa mencabarnya tahun 2020...yang kita sendiri sedia maklum bahawa satu dunia diuji dengan ujian yang amat dahsyat iaitu covid-19....  

Diuji dengan penyakit yang tak pernah kita bayangi...

Diuji dengan kehilangan pekerjaan...

Diuji dengan kesihatan mental dan fizikal...

Diuji dengan kematian orang yang tersayang...

Namun begitu...janganlah itu semua mematahkan semangat dan menghilangkan kepercayaan kita kepada Allah...sebaliknya kita perlu redha dan yakin bahawa di sebalik ujian yang melanda kita semua ini terdapat seribu satu hikmah yang Allah sediakan untuk kita renungi dan ambil sepertimana firman Allah dalam surah al-Mulk ayat 2 berikut :



Oleh itu, teruskan yakin kepada Allah...

Letakkanlah sepenuh kepercayaan kepada Allah...

Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang tahu apa yang terbaik untuk kita...

Hikmah yang Allah berikan di sebalik ujian 2020 ini sangat besar seandainya kita benar-benar melihatnya dengan mata hati...

Dan dari ujian ini juga kita dapat menilai juga sejauh mana kebergantungan kita kepada Allah swt...

Keyakinan kita bahawa rezeki Allah itu sangat luas...

Dan percaya bahawa kematian itu adalah pasti dan setiap orang akan merasainya sama ada cepat mahupun lambat...

Oleh itu, bukan ujian itu yang harus kita persoalkan, sebaliknya apa tindakan yang kita perlu lakukan seterusnya...



Baiklah setakat ini sahaja perkongsian saya bagi tahun 2021...

Semoga tahun 2022 yang akan menjelang tidak lama lagi memberi seribu sinar harapan kepada kita semua... dan terima kasih kepada semua yang sudi membaca sehingga ke akhir perkongsian...Mohon doakan saya diberikan kesihatan yang baik agar dapat berkongsi lagi di posting akan datang...

Assalamualaikum...

#prayforIslam

#prayforMalaysia

#kitajagakita


Wednesday, December 18, 2019

PERCAYA DENGAN TAKDIR ALLAH...

Assalamualaikum...

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog saya bagi membaca coretan yang tidak seberapa ini. Semoga kita semua dikurniakan kesihatan yang baik dan diberikan kemudahan dalam setiap urusan baik di dunia mahupun di akhirat...
Amin Ya Rabbal Alamin...

Perkongsian kita pada hari ini adalah berkaitan dengan takdir atau DESTINY?

Apa itu takdir?
Sejauhmana kita berlapang dada menerima takdir Allah untuk kita?
Bagaimana sikap kita andai perjalanan takdir Allah itu sangat susah untuk kita terima?
Dan...
Bagaimana pula seandainya takdir tersebut sememangnya adalah yang terbaik dalam hidup kita tanpa kita sedari...

Maka.,
Percayalah ...
Yakinlah ...
Dan Berlapang dada lah dengan setiap yang Allah takdirkan untuk kita...

Teringat saya pada firman Allah swt dalam surah Baqarah ayat 216 yang bermaksud:

Image result for boleh jadi kamu menyukai sesuatu

Ya, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya...

Tidak rugi walau sedikitpun sekiranya kita percaya dan yakin dengan takdir Allah...
Bahkan hati kita akan terasa lebih lapang dan tenang...
Kerana apa?
Kerana kita redha dan percaya setiap yang berlaku dalam hidup ini adalah takdir dan perjalanan yang Allah dah susunkan untuk kita lalui...
Kita akan lebih menerima apa sahaja yang Allah berikan dan aturkan untuk kita...
Maka akan terlahirlah suatu keindahan di setiap lakaran takdir kehidupan kita...

Image result for percaya pada takdir allah quotes

Akhir kalam...
Bersangka baiklah dengan Allah...
Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kehidupan kita...
Percaya dan yakin dengan sepenuh hati...
Semoga Allah memberikan kekuatan untuk kita menjalani setiap apa yang ditakdirkan dalam hidup yang penuh onak duri ini...

Kalau benar ketentuan-Nya tidak akan ke mana kan?

Ingat, percaya pada Allah...Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang terbaik untuk setiap hamba-Nya. Allah tak pernah mengecewakan kita, sebaliknya yang mengecewakan kita adalah harapan kita sendiri pada sesuatu yang kita sendiri tidak pasti sama ada ianya terbaik buat kita atau pun tidak...

Kuatkan keyakinan kita pada Allah...serahkan segalanya pada Allah untuk mencorak lembaran takdir kita mengikut kehendak-Nya...in shaa Allah di sebalik kesabaran kita menunggu, ada sesuatu yang Allah takdirkan untuk kita...

Takdir dan masa itu berjalan seiringan...

Why no one choose me? 

Just remember this : 

"Because destiny had other plans for you" 

"Because Allah had something special to give to you ♥️"

Sendiri itu sepi...
Tapi aku punya Allah ❤️✨

Baiklah setakat ini sahaja perkongsian saya pada hari ini...
Kemungkinan ini adalah post saya yang terakhir....


.........................................................................................

Opsss...
Yang terakhir untuk tahun ini... (dah nak berakhir tahun 2019...huhuhu)
Semoga kita berjumpa lagi pada post yang akan datang tahun 2020...
Wassalam...
#prayforMuslimUyghur
#prayforeveryone

Friday, November 22, 2019

JANGAN DIMINTA DIUNDURKAN MASA

Assalamualaikum semua...
Selamat tahun baru..2019...
Dan...
Tanpa kita sedar, ianya juga bakal menemui penghujung tidak lama lagi...

In shaa Allah semoga dengan kedatangan tahun baru tidak lama lagi, kita dapat meningkatkan ketakwaan dan keimanan kita kepada Allah serta memperbaiki amal ibadat kita...Aamin
Tidak lupa juga kepada semua pembaca blog ini..Saya doakan semoga kita dipermudah segala urusan dunia dan akhirat serta diberikan kekuatan untuk menghadapi setiap ujian yang mendatang..

Baiklah..post kali ini lebih memfokuskan tentang masa..
Apa itu masa?
Kenapa kita selalu minta agar diundurkan semula masa yang telah lalu?

Pernahkah kita terfikir seandainya diundurkan semula masa itu, adakah kita akan masih berada dalam keadaan yang sama seperti sekarang ini?
Adakah iman kita juga akan bertambah atau sebaliknya?
Adakah hati kita akan lebih mengingati Allah?

Walau apa pun yang berlaku dalam hidup ini,
Ingatlah..
Jangan sesekali minta diundurkan masa...
Kerana perancangan Allah itu adalah lebih baik daripada yang kita bayangkan..

Image result for jangan diundurkan waktu quote

*serius pulak post kali ni..hihihi

Mungkin pernah antara kita terdetik di hati untuk kembali semula ke alam persekolahan...
Belajar dan bermain dengan kawan-kawan... (macam kanak-kanak tadika pulak, hehehe)
Tanpa perlu memikirkan masalah yang berlaku di sekeliling kita sepertimana keadaan sekarang ini...
Suatu zaman yang pasti hanya mampu kita kenang sahaja dalam hati dan fikiran nanti tidak mungkin akan pernah terulang lagi...
Segala suka duka yang dilalui sepanjang perjalanan kita sewaktu berada di zaman tersebut kini hanya mampu diimbas kembali sahaja...

Namun begitu...
Sekiranya kita amati semula setiap perjalanan tersebut...
Maka ianya mampu menambahkan kesyukuran kita kepada Allah...
Kerana Dia kita mampu sampai ke tahap sekarang kita berada...
Kerana Dia kita mampu menjadi siapa kita sekarang...
dan...
Kerana Dia jualah kita mampu menghadapi segala onak duri kehidupan yang mendatang...

Allah Akbar...
Segala Puji Hanya Bagi-Mu..

Ingat semua..
Masa tidak akan mungkin berulang semula...
Apa yang kita harus lakukan sekarang adalah terus bergerak ke hadapan...
Menjadi seseorang yang lebih baik daripada sebelumnya...
Makin bertambah usia...
Semakin indah akhlak dan peribadi kita...

Nasihatku hanya satu...
Menoleh ke belakang sebentar itu tidak mengapa...
Tapi jangan sampai ianya menarikmu hingga engkau lalai dan bersedih kerananya...

Image result for jangan diundurkan waktu quote
Masa ibarat pedang...
Jika kamu tidak 'memotongnya'...
Ia akan 'memotong' kamu...

الوقت كالسيف إن لم تقطعه قطعك

Baiklah, sampai di sini sahaja perkongsian saya pada hari ini...Semoga bertemu lagi di post yang akan datang...Semoga kita semua semakin menjadi insan yang lebih baik daripada sebelum ini...
Wassalam...
#masaituemas
#hargaisetiapdetik
#janganmintadiundurkanmasa
#bersyukurdenganapajuakeadaankitasekarang
#Allahlebihmengetahui

"Setiap detik yang kita lalui sekarang sangat bermakna" - Soo Ho (51: 33)
- Time (2018) eps. 8-




Wednesday, March 6, 2019

ALLAH... TEMPAT BERGANTUNG

Assalamualaikum semua...

Alhamdulillah syukur nikmat atas kehendak-Nya dapatlah saya meneruskan lagi perkongsian melalui penulisan blog ini. Semoga anda semua, wahai pembacaku diberikan kesihatan tubuh badan, dimurahkan rezeki, dipermudah segala urusan dunia dan akhirat serta diberikan kekuatan dalam menghadapi setiap ujian dan cabaran hidup.

Baiklah, post kali adalah berkaitan dengan pergantungan sepenuhnya kepada Allah...
Allah lah sebaik-baik dan selayaknya yang menjadi tempat buat kita semua bergantung harap...

Allah...

Tempat untuk kita 
meminta pertolongan...
mengadu segala masalah...
mencurah segala kesedihan yang terpendam dalam hati...

Hanya Allah sahaja yang tahu 
Perasaan kita...
Masalah kita...
Kesedihan kita...
Ketakutan kita...
dan apa jua yang bermain di fikiran dan sanubari kita...

Bergantunglah sepenuhnya kepada Allah...
Nescaya kita tidak akan sekali-kali dikecewakan oleh-Nya...
Cukuplah percaya kepada-Nya dengan sepenuh hati kita...

Janganlah sesekali meletakkan kebergantungan itu kepada manusia...
Kerna pasti kita akan dikecewakan...
Kerana manusia itu sama seperti kita...
Ada masanya mereka boleh membantu kita...
Tetapi ada masanya kita akan dibiarkan begitu sahaja...
Oleh itu, ALLAH lah sebaik-baik dan selayaknya yang menjadi tempat kita bergantung harap...



Maka lihatlah betapa sayangnya Allah kepada kita...
Tidak sesekali Dia meninggalkan hamba-Nya...
Bahkan kitalah, hamba-Nya yang sering melupai-Nya...

(Ampunkan kami yang sering lalai dalam mengingati-Mu Ya Allah)

Baiklah, setakat ini sahaja perkongsian saya pada kali ini...
In shaa Allah semoga kita bertemu lagi dalam perkongsian yang akan datang...
Wabillahi taufiq wa al-hidayah...
Wassalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh...

#ingatAllahselalu
#Allahdihatiku

Saturday, December 1, 2018

BERTABAH DAN BERSABARLAH...

Bismillah..

Assalamualaikum...

Syukur Alhamdulillah kita semua masih diberikan kesihatan yang baik..sihat jasmani dan rohani bagi menempuh kehidupan seharian kita yang penuh dengan onak dan duri ini..Diharapkan agar sesiapa pun yang sudi membaca blog ini diberikan kemudahan oleh Allah dalam setiap urusan yang dihadapi seharian...baik urusan yang mudah mahupun yang sukar.

Baiklah, perkongsian saya pada hari ini lebih kepada untuk menyuntik dan menyemai sifat sabar dalam diri anda semua...
Kadang-kadang kita sendiri tidak mengetahui bilakah waktunya Allah swt akan memberikan ujian kepada kita...
Dan..apa bentuk ujian yang Allah mahu kita tempuhi..
Semuanya terpulang kepada-Nya..

Sebagai hamba, 
Apa yang perlu kita lakukan adalah menerima setiap ujian yang diberikan dengan hati yang terbuka...
Menerima ia dengan sikap yang postif,
Berlapang dada..
Dan tidak mengeluh ketika berdepan dengan ujian tersebut...

Sesetengah daripada kalangan kita terkadang menganggap bahawa ujian itu satu beban..
Namun ada yang lebih teruk seandainya kita beranggapan bahawa Allah membenci kita...
Nauzubillah...
Sikap kita yang sebeginilah yang terkadang akan menjerumuskan diri kita kepada perkara-perkara yang negatif...
Kita akan mudah jatuh dengan hasutan dan dorongan syaitan yang membawa kepada keburukan dan kejahatan...

Oleh itu...
Bertabah dan bersabarlah...
Dunia ini sebenarnya satu ujian..
Jadilah manusia yang kuat dan tabah dalam menghadapi setiap ujian yang mendatang..
Ingatlah bahawa Allah selalu memerhatikan hamba-Nya setiap saat, detik dan ketika...
Semoga kita semua tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang sabar dan kuat mengharungi onak duri kehidupan..



Alhamdulillah, setakat ini sahaja perkongsian saya..
Semoga diberikan lagi kelapangan masa untuk meneruskan penulisan di blog ini..
Wassalam...
#sabar
#tabah
#Allahsayangkita

Sunday, September 16, 2018

KASIHI ORANG LAIN...

Bismillah..

Assalamualaikum ...

Terima kasih diucapkan kepada anda, pembaca yang sudi meninjau blog saya yang tak seberapa ini. Semoga kita semua diberikan kekuatan oleh Allah dalam menempuhi kehidupan yang penuh dengan onak duri ini. Semoga Allah melindungi diri dan menjaga iman kita agar tetap teguh berpegang kepada agama-Nya...In shaa Allah

Baiklah, perkongsian saya kali ini adalah "Kasihi Orang Lain". Tapi topik ini lebih kepada mengasihi mereka yang bukan daripada darah daging kita sendiri. Tidak kira sama ada kawan rapat , kenalan hatta sesiapa sahaja.
Sabda Rasulullah s.a.w : Tidak beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudara-saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri.

Oleh itu...
Kasihilah orang lain sepertimana kita mengasihi diri kita sendiri...
Hargailah orang lain sepertimana kita menghargai diri kita sendiri...
Jagalah hati orang lain sepertimana kita menjaga hati kita sendiri...

Kadang-kadang dalam hidup ini seringkali kita terlepas pandang apabila ianya melibatkan kepentingan orang lain. Selalu mementingkan diri sendiri sehingga terkadang lupa kepada mereka yang berada di sekeliling kita. Menganggap seolah-olah mereka tidak wujud dan hanya tersedar kehadiran mereka di saat kita memerlukan bantuan dan pertolongan daripada mereka.

Saya akui diri ini juga terkadang begitu. Mungkin kerana adanya sedikit sifat paranoid untuk mengasihi orang lain sepertimana saya mengasihi diri saya sendiri. Tapi Alhamdulillah.. sifat tersebut berubah tatkala saya diberikan seorang permata hati yang bukan lahir dari rahim ibu saya dan semestinya bukan rahim saya (masih single lagi ye)..hihihi

Allahu akbar... Alhamdulillah..setelah sekian lama rumah saya sepi daripada tangisan kanak-kanak, kini menjadi riuh dengan kehadiran permata itu. Perasaan sayang yang wujud dalam diri saya terhadap anak kecil itu saya rasakan sangat luar biasa.. 

Ya Allah...kadang-kadang tak sangka bahawa perasaan kasih sayang yang sangat indah ini menyentak sanubari saya. Perasaan ingin sentiasa melindungi dan menjaganya terus kuat dalam hati saya sehinggakan setiap kesakitan dan kesedihan yang dia rasai akan turut saya rasai. Sesungguhnya kehadiran dia dalam hidup saya sangat istimewa. 

Namun begitu, tidak seperti kanak-kanak lain, permata hati saya mempunyai kekurangan. Mungkin luarannya normal tapi sebenarnya dia tergolong dalam kalangan kanak-kanak istimewa. Keistimewaan tersebut walaupun pada sesetengah orang yang saya pernah jumpa tidak menganggap dia seperti kanak-kanak istimewa lain memandangkan kekurangannya terkadang membawa kepada pandangan sinis  terhadapnya. (maaf tapi saya kurang senang untuk berkongsi kekurangan tersebut dengan para pembaca..mungkin di post yang lain...in shaa Allah)

Setiap perkataan mahupun anggapan orang lain yang tidak disenangi terhadap permata hati saya pasti akan membuatkan hati ini berasa sangat sedih dan terkesan daripada kata-kata tersebut. Terkadang hati ini meronta dan ingin menegur mereka tapi kerana perasaan hormat, saya hanya simpannya dalam hati sahaja... (dan menangis di bucu katil seorang diri..huhuhu)

Tidak semua orang dapat mengasihi mereka yang bukan darah daging kita. Oleh itu, beruntunglah mereka yang mempunyai hati yang cukup besar dan penuh dengan perasaan kasih dan sayang kepada orang lain...

Alhamdulillah..setakat ini sahaja perkongsian saya pada kali ini. Semoga saya diberikan kekuatan dan kelapangan waktu agar dapat lagi mencoret secebis kisah di post yang akan datang.

Maaf kalau post saya kali ini mahupun yang sebelum-sebelum ini telah menguris perasaan sesiapa. Diharapkan semoga post kali ini dapat membuka mata dan hati kita untuk mengasihi mereka yang lain tanpa mengenal hubungan darah, kaum dan juga agama...

Wassalam :)
#sayangidirisendiri
#sayangioranglain
#sayangisemua

Wednesday, May 10, 2017

LUAHAN HATI SI PENCARI KEKUATAN... 13 : 28

Assalamualaikum...
Selamat petang...
Semoga kita diberikan kesihatan yang baik oleh Allah Taala dalam menghadapi kehidupan yang penuh ujian dan dugaan dalam menilai tahap keimanan kita semua kepada-Nya...

Baiklah untuk post kali ini,
Saya akan kongsikan satu luahan hati seseorang yang mencari kekuatan dalam diri...

Tapi sebelum itu,
Ketahuilah semua bahawa...
ALLAH adalah KEKUATAN...
Maka untuk mencari KEKUATAN,
Carilah ALLAH...








Allahu Akbar…
Terkadang hati ini mulai terdetik…
Alangkah berat rasanya ujian ini…
Yang adakalanya membuatkan jasadku lemah menyembah bumi…

Ya Allah…
Hanya Engkau sahaja yang memahami hati ini…
Hanya Engkau sahaja yang tahu jerih perih penderitaan yang ditanggung oleh jasad lemah ini…
Hanya Engkau sahaja yang tahu…
Betapa malunya diri ini…
Tatkala segala rahsia hati disingkapkan kepada umum tanpa kesedaran diri…
Tatkala segala rahsia hidup diluahkan kepada semua…
Tatkala perasaan yang selama ini disembunyikan daripada pengetahuan manusia…
Diluahkan tanpa perasaan malu…

Allahu Akbar…
Malunya diri ini…
Tatkala mengenangkan segala yang berlaku di luar kesedaran normal diriku…
Segala sifat malu yang diterapkan dalam diri…
Seakan-akan hilang entah ke mana…
Maruah yang selama ini dijaga rapi…
Tercalar dalam sekelip mata…
Apatah lagi...
Tatkala mata-mata yang memandang menganggap diriku seorang pesakit mental...

Ampunkan aku Ya Allah,
Tatkala mengenangkan semua ini…
Air mata tidak dapat lagi ditahan daripada terus membasahi pipi ini…

Ampunkan aku Ya Allah,
Kerna sering lemah tatkala ujian-Mu menyapa hidupku…

Ampunkan aku Ya Allah...
Yang terkadang mementingkan pandangan seorang hamba melebihi pandangan-Mu...

Maka benarlah...
Manusia lain tidak akan pernah faham apa yang kita alami...
Sehinggalah mereka mengalaminya sendiri... 

Seringkali aku katakan pada diri....
Bersabarlah duhai hati...
Kamu kan kuat...
Yakin pada takdir Allah ke atas dirimu...
Setiap yang berlaku pasti ada hikmah-Nya...

Akan tetapi...
Kata-kata itu dibohongi tatkala...
Air mata tetap mengalir deras membasahi pipi...
Tatkala ingatan yang menyakitkan itu menjergah diriku...
........................................................................................................................................................................
Alhamdulillah…
Kini aku mulai mengerti erti sebenar hidup di dunia…
Mengerti erti setiap ujian yang menimpa setiap jiwa yang bernyawa…
Menghargai dua orang insan istimewa yang tidak pernah berhenti berkorban demi diri ini…
Serta mereka yang sama-sama berkongsi titisan air mata mereka denganku…
Menilai antara mereka yang bergelar kawan dan sahabat…
Merenungi kembali tahap keimananku pada-Nya…
Mencari hikmah dan barakah di sebalik semua yang berlaku…
Dan...
Mencari kekuatan untuk bangkit kembali menempuhi hidup ini...

Allahu Akbar…
Tabahkan hati ini ya Allah…
Dalam menempuhi hidup di dunia yang penuh onak duri kehidupan ini…
........................................................................................................................................................................
Alhamdulillah…
Ku syukuri di atas …
UJIAN PENGUAT PERISAI KEIMANAN INI…

Tersenyumlah duhai hati yang sedang diuji…
Sesungguhnya Allah telah memilih kamu…
Untuk menerima hadiah daripada-Nya yang berbentuk UJIAN ini…
Tabah dan sabarlah duhai hati...
Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar...
25 Oktober 2014.... JAM 1831


Alhamdulillah...
Semoga kita semua diberi kekuatan tatkala ujian itu menerpa hidup kita...
Sampai di sini sahaja post daripada saya...
Terima kasih kepada sesiapa yang membaca post ini...

Sekian...
Assalamualaikum...  :)

Sunday, September 14, 2014

KETENANGAN YANG DICARI DAN DISYUKURI... :)

Assalamualaikum...
Selamat malam...
Semoga kita semua diberikan kesihatan yang baik oleh Allah Taala dalam menghadapi kehidupan ini yang penuh dengan ujian-Nya.
Namun ketahuilah bahawa setiap ujian mahupun masalah yang kita hadapi sebenarnya merupakan HADIAH daripada Allah...
( Untuk penerangan yang lebih lanjut, bolehlah rujuk post saya yang lalu di bawah tajuk 'UJIAN DAN SIFAT SABAR' )

Baiklah, apa yang saya ingin kongsikan bersama anda semua pada post kali ini adalah mengenai KETENANGAN...
Ketenangan yang mana terasa nikmat jika merasainya...
Yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit...
Bahkan,
Tidak dijual dimana-mana hatta di kedai 24 jam seven eleven sekalipun...
:)
KETENANGAN atau perasaan tenang...
Sungguh beruntung bagi mereka yang dapat merasainya...
Di saat mereka...
diuji dengan 1001 ujian oleh Allah Taala...
di saat mereka lemah tidak berdaya untuk menghadapinya...

Akan tetapi,
Satu sahaja hakikat yang kita tidak dapat ubah mengenai ketenangan ini adalah...
Allah Taala adalah sebagai pemberi ketenangan yang hakiki...
:)

Alhamdulillah...
Berasa beruntunglah bagi mereka yang memperolehi ketenangan ini...
Kerana apa?
Kerana ketenangan merupakan salah satu nikmat yang patut kita syukuri...
Suatu rasa yang sangat menyenangkan dalam merawat hati yang penuh dengan kemarahan...
Suatu rasa yang sangat menenteramkan fikiran yang penuh keserabutan memikirkan masalah diri dan manusia...


TO BE CONTINUED.....


Baiklah, sampai di sini sahaja perkongsian saya pada kali ini...
Sehingga kita bertemu lagi di post yang akan datang.
Sebelum itu ingatlah,
BERSYUKURLAH DI SAAT ANDA MERASAI KETENANGAN... :)
Assalamualaikum... 

-TERIMA KASIH ALLAH-
-PRAY FOR MH370-
-PRAY FOR GAZA-