Sunday, May 25, 2014

INSPIRASI DARIPADA LUAHAN SEKEPING HATI YANG IKHLAS (BAHAGIAN 2) :)

Assalamualaikum...
Selamat Pagi...
Diucapkan kepada semua pembaca blog ini yang tetap setia menanti setiap coretan yang akan dicoret dan dikongsi di blog ini.
Semoga kita diberikan kesihatan yang baik oleh Allah Taala dalam menghadapi segala ujian-Nya dan menempuh hidup yang berliku dan penuh onak duri ini dengan penuh kesabaran dan ketabahan.

Baiklah, seperti yang saya janjikan pada post yang lalu, saya akan kongsikan kepada anda semua tentang luahan seseorang yang memberi inspirasi kepada hidup saya...
Sebetulnya, bukanlah luahan daripada sekeping hati tetapi boleh dikatakan beberapa keping hati jugalah...  :)

Saya masih teringat lagi luahan daripada sahabat-sahabat SERU saya yang mana mereka ini adalah antara orang yang sangat takut dan tidak mempunyai keberanian untuk bercakap di hadapan khalayak ramai...
Apabila memandang mereka, saya teringat akan seorang budak perempuan yang sangat takut untuk berdepan dengan ramai orang... Tapi, Alhamdulillah, akhirnya dia sedar bahawa dia harus dan mesti menghapuskan ketakutan itu jika ingin dirinya berjaya...

Dan...
Orang itu adalah saya...
Apabila mendengar setiap luahan mereka, saya mula terfikir bahawa memang sukar seandainya kita yang mempunyai sifat takut untuk bercakap di hadapan orang ramai untuk berbuat demikian apabila disuruh...
Tapi saya tabik dengan sahabat-sahabat saya yang sebegini kerana pada hari terakhir program kami itu, merekalah antara orang yang bercakap paling lama dan berkongsi pengalaman dan perubahan diri mereka.
Sedangkan saya sendiri pun hanya bercakap dalam masa yang agak singkat dan ringkas sahaja.

Alhamdulillah, dengan mengambil semangat dan keberanian mereka, saya mula sedar bahawa kita perlu mengatasi segala ketakutan yang ada dalam diri kita jika kita ingin tetap maju dalam hidup dan berjaya seperti orang lain.
Hali ini kerana saya dapat melihat beberapa orang rakan saya yang mereka cemerlang dalam kemahiran insaniah (softskills) walaupun akademik mereka tidak secemerlang itu...


Perkara pertama yang menjadi inspirasi saya adalah keberanian untuk mengatasi ketakutan dalam diri manakala perkara kedua pula adalah berkaitan dengan pendapat dan tanggapan manusia terhadap kita.
Ada seorang sahabat yang telah meluahkan perasaannya bahawa dia sangat tertekan dengan orang di sekelilingnya berkaitan dengan pencapaian akademiknya.
Sahabat saya ini adalah seorang yang cemerlang dalam pelajarannya dan oleh kerana kecemerlangannya itulah yang membuatkan orang lain berpandangan tinggi dan jauh terhadap dirinya.
Sahabat saya takut akan tanggapan manusia seandainya dirinya kurang cemerlang dalam peperiksaannya berbanding dengan peperiksaan yang sebelum ini.


Tidak dapat dinafikan bahawa saya juga pernah mengalami apa yang sahabat ini alami suatu ketika dahulu. Saya sangat tertekan dengan persepsi manusia lain terhadap saya dan usaha untuk tetap 'berjaya' dan 'cemerlang' di mata mereka. Tetapi, apabila keputusan peperiksaan keluar, apa yang saya takut selama ini telah menjadi kenyataan dan diri ini mulai merasai satu tekanan, bebanan dan juga ketakutan terhadap pandangan dan pendapat manusia lain terhadap diri saya.


Tapi, Alhamdulillah, selepas mendengar perkongsian dan luahan hati sahabat ini, saya mulai sedar bahawa kita tidak boleh membiarkan pendapat manusia dan tanggapan mereka terhadap diri kita membuatkan kita berasa tertekan sehingga kita berasa mahu kelihatan sempurna di mata mereka
.
'NOBODY IS PERFECT'
Itulah jawapan bagi masalah ini... Tidak ada yang sempurna di dunia ini...
Hidup ini ibarat roda, adakalanya kita di atas dan adakalanya kita di bawah.
Itulah lumrah kehidupan...
Apa yang paling penting ialah kita perlu tetap berusaha dan terus berusaha untuk memajukan diri kita.
Yang paling perlu kita ingat adalah niat kita mestilah Lillahi Taala dan bukannya kerana ingin kelihatan 'gah' di hadapan manusia lain.
Hanya perlu ambil apa yang positif daripada mereka dan buangkan serta abaikan perkara negatif yang hadir bersama mereka...


Semoga apa yang saya kongsikan ini dapat memberi inspirasi juga kepada semua pembaca blog ini.
Apa yang penting ialah...
'YOU HAVE TO BE INSPIRED'
Bukan sahaja memberi inspirasi kepada diri sendiri bahkan menjadi inspirasi dan semangat kepada mereka yang berada di sekeliling kita...

Baiklah, saya kira sampai di sini sahaja perkongsian saya.
Terima kasih kepada semua yang sudi membaca blog ini dan diharapkan dapat memberi inspirasi dan memotivasikan diri kita semua dalam menghadapi kehidupan yang kian mencabar ini.
Jangan lupa untuk nantikan post saya yang seterusnya pada hari Sabtu minggu hadapan.
Saya akhiri coretan ini dengan lafaz...

ASSALAMUALAIKUM...

-TERIMA KASIH ALLAH-


Sunday, May 18, 2014

INSPIRASI DARIPADA LUAHAN SEKEPING HATI YANG IKHLAS

Assalamualaikum...
Selamat pagi...
Diucapkan kepada semua pembaca blog ini yang masih setia meluangkan masa untuk membaca coretan daripada saya.
Semoga anda semua diberikan kesihatan yang baik oleh Allah Taala dalam menempuhi hidup yang penuh onak duri dan ujian ini.

Baiklah, apa yang saya hendak kongsikan pada hari ini dengan anda semua adalah mengenai wrap up session program SERU (program yang saya telah ceritakan pada anda semua pada post-post yang lalu ) yang mana merupakan sesi program yang terakhir bagi sesi 2013/2014.

Di mana, untuk sesi ini, kami semua dikehendaki untuk berkongsi dengan rakan-rakan yang lain tentang perubahan yang berlaku dalam diri kami sepanjang kami mengikuti program ini. Baiklah, sebelum saya berbicara lebih lanjut tentang inspirasi siapakah yang telah menaikkan semangat saya....saya akan berkongsi dengan anda semua, duhai pembaca blogku mengenai perubahan yang berlaku dalam diri saya yang saya telah kongsikan dengan sahabat-sahabat SERU yang lain.

Ada 2 perubahan yang saya dapat lihat dalam kehidupan saya yang mana amat berbeza dan ketara daripada sebelum ini. Kedua-duanya saya telah terperincikan dalam post-post yang lepas.  :)

Pertama : PLANNER


Sebelum saya menyertai program SERU, saya adalah seorang yang tidak pandai untuk menguruskan masa saya dengan betul. Saya tidak pernah mencatatkan apa-apa perkara penting dalam bentuk tulisan tetapi hanya dalam bentuk ingatan semata-mata. Dan akhirnya... saya pernah berselisih faham dengan seorang rakan kerana perkara ini. Saya telah berjanji dengan kawan saya untuk study group tapi dek kerana hanya mengingatinya dalam ingatan semata-mata .... pada masa yang sama saya telah membuat janji dengan kawan yang lain untuk menemaninya keluar untuk membeli barang... Semenjak peristiwa itu , saya kini lebih berhati-hati dalam membuat janji dengan seseorang... Dan Alhamdulillah, masalah yang berlaku antara saya dengan kawan saya telah dapat diselesaikan dan kami masih berkawan sehingga ke hari ini. Dan apabila saya menyertai program SERU, barulah saya dapat tahu mengenai sesuatu yang dipanggil...PLANNER (boleh rujuk blog saya yang lepas bawah tajuk 'Planner' )
Alhamdulillah, selepas memiliki planner buatan sendiri (kalau nak beli, poket ni dah keringlah pula...) , kini saya mampu mengatur perjalanan aktiviti saya dengan baik. Planner ni dah saya anggap seperti kawan baik saya sendiri....Kemana-kemana saya pergi, planner mesti ada sentiasa dalam beg.  (kecuali ke tandas ye   :)  Segala aktiviti dan perancangan akan saya catatkan di situ. Setiap kali, sebelum membuat janji dengan orang lain, saya akan tengok sahabat baik saya ini (PLANNER) agar pisang tidak berbuah dua kali...agar ikatan ukhuwah tidak terputus lagi.

Kedua : 360 DEGREE FEEDBACK


Sebelum saya menyertai program SERU, saya adalah seorang yang tidak suka untuk menerima anggapan orang lain atau penilaian mereka terhadap diri saya. Tapi... Alhamdulillah, selepas menyertai program ini, saya lebih berfikiran terbuka dalam menerima apa jua penilaian orang lain terhadap diri saya sama ada kekuatan yang ada dalam diri ini mahupun kelemahan. Tapi, kebiasaannya fikiran yang sempit bukan pada penilaian tentang kekuatan tapi apabila penilaian tentang kelemahan diri. Ada sesetengah daripada kita akan mudah 'melenting' dan marah apabila orang lain menilai kelemahan dalam diri kita dan mereka itu termasuklah diri orang yang menulis blog ini. Dan, ada juga yang takut untuk mengetahui tentang penilaian orang lain tentang diri kita. Tapi, Alhamdulillah, sifat itu semua saya cuba untuk hakiskan dan buang dalam diri ini sedikit demi sedikit. Saya kini berusaha untuk menerima pendapat orang lain tentang diri saya. In shaa Allah... Jika kita suka kritik orang lain, oleh itu tidak salahlah jikalau mereka juga mengkritik kita. (Sekadar pandangan saya semata)

Baiklah, saya rasa cukup sampai di sini sahaja coretan saya untuk post kali ini.
Kepada semua pembaca blog ini, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi membaca blog saya ini.In shaa Allah, post ini akan ada bahagian keduanya nanti...
Anda semua ingi tahu luahan siapa yang memberi inspirasi dalam hidup saya???
Nantikan post saya yang seterusnya pada hari Sabtu akan datang.  :)
Sehingga kita bertemu lagi.

Assalamualaikum...
-ALHAMDULILLAH-
-TERIMA KASIH ALLAH-



Sunday, May 11, 2014

BIJAKLAH DALAM MENGURUS WANG ANDA !!!

Assalamualaikum...
Selamat malam...
Diucapkan kepada semua pembaca blog yang tetap sudi meluangkan masa untuk membaca blog saya ini.
Semoga anda semua diberikan kesihatan yang baik oleh Allah Taala bagi menghadapi hidup yang penuh dengan onak dan duri ini.


Perkongsian kita pada hari ini adalah mengenai pengurusan kewangan.
Kita haruslah bijak dalam mengurus wang kita sendiri.
Kenapa ye?
Kenapa....?   Hal ini kerana pengurusan wang menunjukkan kebijaksanaan seseorang itu menguruskan kehidupan seharian mereka.
Selain itu, pengurusan wang juga adakalanya memberi kesan terhadap cara pemakanan kita...

Bayangkan,
Seandainya kita tidak bijak dalam menguruskan wang, kita akan membazirkan wang tersebut kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti membeli makanan segera dan berkunjung ke pusat-pusat permainan yang mana sangat-sangat jelas pembaziran berlaku.

Untuk langkah yang pertama, kita boleh mulakan pengurusan wang dengan mencatat segala perbelanjaan yang kita lakukan seharian dalam sebuah buku.
Dengan cara ini, kita dapat mengetahui ke mana wang itu dibelanjakan.

Selain itu, ada satu lagi cara untuk mengurus wang kita yang mana cara ini saya belajar daripada program SERU yang saya hadiri.
Caranya...
1. Ambil beberapa botol kosong (tidak kira sama ada botol air ataupun balang kuih sekalipun- pastikan yang diperbuat daripada plastik agar keselamatan kita terjamin)
p / s : jangan botol kicap sudahlah....  :)

2. Labelkan setiap botol dengan perkara-perkara seperti berikut:
  • EDU - pendidikan
  • FUN - hiburan
  • FOOD - makanan
  • SAVE - simpanan
  • OTHERS - lain-lain perbelanjaan
3. Sebelum memulakan perbelanjaan, isikan wang tersebut ke dalam setiap botol dengan anggaran perbelanjaan untuk setiap perkara tersebut.
 Contohnya : Duit di tangan : RM300
EDU - RM100
FUN - RM50
FOOD - RM'50
SAVE - RM50
OTHERS - RM50

Kaedah ini dinamakan 6 JARS.  (tapi contoh yang saya bagi tadi, cuma ada 5 perkara sahaja... bolehlah tambah satu lagi nanti)  :)


Dengan mempraktikkan 6 Jars ini, anda dapat menghadkan perbelanjaan anda agar tiada pembaziran yang akan berlaku kerana setiap sesuatu itu sudah kita tetapkan perbelanjaannya.

Maaf kepada semua pembaca blog ini tetapi saya sejujurnya belum lagi mempraktikkan 6 Jars ini akan tetapi saya hanya mampu menulis dan mencatat segala perbelanjaan saya dalam sebuah buku sahaja kerana bagi saya dengan membuat catatan, saya dapat tahu ke mana duit itu telah dibelanjakan dan seandainya perbelanjaan pada hari itu berlebihan, saya akan cuba pastikan agar saya tidak berbelanja secara berlebihan pada keesokan harinya...
( anda hanya pilih satu cara sahaja mengikut keselesaan dan kemampuan anda semua samaada cara pertama atau cara kedua yang saya telah kongsikan tadi) .

Baiklah, sampai di sini sahaja perkongsian saya kali ini.
Buat pengetahuan semua pembaca blog ini, saya telah menukarkan hari untuk update blog ini dari hari Jumaat dan Ahad kepada hari Sabtu. 
Oleh itu, nantikan post yang lain dari saya pada setiap hari Sabtu.  In shaa Allah...
Sehingga kita bertemu kembali dalam post yang akan datang.   :)
Assalamualaikum...

-TERIMA KASIH ALLAH-