Sunday, May 25, 2014

INSPIRASI DARIPADA LUAHAN SEKEPING HATI YANG IKHLAS (BAHAGIAN 2) :)

Assalamualaikum...
Selamat Pagi...
Diucapkan kepada semua pembaca blog ini yang tetap setia menanti setiap coretan yang akan dicoret dan dikongsi di blog ini.
Semoga kita diberikan kesihatan yang baik oleh Allah Taala dalam menghadapi segala ujian-Nya dan menempuh hidup yang berliku dan penuh onak duri ini dengan penuh kesabaran dan ketabahan.

Baiklah, seperti yang saya janjikan pada post yang lalu, saya akan kongsikan kepada anda semua tentang luahan seseorang yang memberi inspirasi kepada hidup saya...
Sebetulnya, bukanlah luahan daripada sekeping hati tetapi boleh dikatakan beberapa keping hati jugalah...  :)

Saya masih teringat lagi luahan daripada sahabat-sahabat SERU saya yang mana mereka ini adalah antara orang yang sangat takut dan tidak mempunyai keberanian untuk bercakap di hadapan khalayak ramai...
Apabila memandang mereka, saya teringat akan seorang budak perempuan yang sangat takut untuk berdepan dengan ramai orang... Tapi, Alhamdulillah, akhirnya dia sedar bahawa dia harus dan mesti menghapuskan ketakutan itu jika ingin dirinya berjaya...

Dan...
Orang itu adalah saya...
Apabila mendengar setiap luahan mereka, saya mula terfikir bahawa memang sukar seandainya kita yang mempunyai sifat takut untuk bercakap di hadapan orang ramai untuk berbuat demikian apabila disuruh...
Tapi saya tabik dengan sahabat-sahabat saya yang sebegini kerana pada hari terakhir program kami itu, merekalah antara orang yang bercakap paling lama dan berkongsi pengalaman dan perubahan diri mereka.
Sedangkan saya sendiri pun hanya bercakap dalam masa yang agak singkat dan ringkas sahaja.

Alhamdulillah, dengan mengambil semangat dan keberanian mereka, saya mula sedar bahawa kita perlu mengatasi segala ketakutan yang ada dalam diri kita jika kita ingin tetap maju dalam hidup dan berjaya seperti orang lain.
Hali ini kerana saya dapat melihat beberapa orang rakan saya yang mereka cemerlang dalam kemahiran insaniah (softskills) walaupun akademik mereka tidak secemerlang itu...


Perkara pertama yang menjadi inspirasi saya adalah keberanian untuk mengatasi ketakutan dalam diri manakala perkara kedua pula adalah berkaitan dengan pendapat dan tanggapan manusia terhadap kita.
Ada seorang sahabat yang telah meluahkan perasaannya bahawa dia sangat tertekan dengan orang di sekelilingnya berkaitan dengan pencapaian akademiknya.
Sahabat saya ini adalah seorang yang cemerlang dalam pelajarannya dan oleh kerana kecemerlangannya itulah yang membuatkan orang lain berpandangan tinggi dan jauh terhadap dirinya.
Sahabat saya takut akan tanggapan manusia seandainya dirinya kurang cemerlang dalam peperiksaannya berbanding dengan peperiksaan yang sebelum ini.


Tidak dapat dinafikan bahawa saya juga pernah mengalami apa yang sahabat ini alami suatu ketika dahulu. Saya sangat tertekan dengan persepsi manusia lain terhadap saya dan usaha untuk tetap 'berjaya' dan 'cemerlang' di mata mereka. Tetapi, apabila keputusan peperiksaan keluar, apa yang saya takut selama ini telah menjadi kenyataan dan diri ini mulai merasai satu tekanan, bebanan dan juga ketakutan terhadap pandangan dan pendapat manusia lain terhadap diri saya.


Tapi, Alhamdulillah, selepas mendengar perkongsian dan luahan hati sahabat ini, saya mulai sedar bahawa kita tidak boleh membiarkan pendapat manusia dan tanggapan mereka terhadap diri kita membuatkan kita berasa tertekan sehingga kita berasa mahu kelihatan sempurna di mata mereka
.
'NOBODY IS PERFECT'
Itulah jawapan bagi masalah ini... Tidak ada yang sempurna di dunia ini...
Hidup ini ibarat roda, adakalanya kita di atas dan adakalanya kita di bawah.
Itulah lumrah kehidupan...
Apa yang paling penting ialah kita perlu tetap berusaha dan terus berusaha untuk memajukan diri kita.
Yang paling perlu kita ingat adalah niat kita mestilah Lillahi Taala dan bukannya kerana ingin kelihatan 'gah' di hadapan manusia lain.
Hanya perlu ambil apa yang positif daripada mereka dan buangkan serta abaikan perkara negatif yang hadir bersama mereka...


Semoga apa yang saya kongsikan ini dapat memberi inspirasi juga kepada semua pembaca blog ini.
Apa yang penting ialah...
'YOU HAVE TO BE INSPIRED'
Bukan sahaja memberi inspirasi kepada diri sendiri bahkan menjadi inspirasi dan semangat kepada mereka yang berada di sekeliling kita...

Baiklah, saya kira sampai di sini sahaja perkongsian saya.
Terima kasih kepada semua yang sudi membaca blog ini dan diharapkan dapat memberi inspirasi dan memotivasikan diri kita semua dalam menghadapi kehidupan yang kian mencabar ini.
Jangan lupa untuk nantikan post saya yang seterusnya pada hari Sabtu minggu hadapan.
Saya akhiri coretan ini dengan lafaz...

ASSALAMUALAIKUM...

-TERIMA KASIH ALLAH-


No comments:

Post a Comment